Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Selangor juara Piala Sumbangsih 2010

Posted by bolasepak on January 9, 2010

SELANGOR menjuarai Piala Sumbangsih 2010 selepas menundukkan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi pembuka tirai kempen Liga Super 2010 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam ini.

Selangor yang muncul juara Piala FA dan Liga Super musim lalu bagaimana pun ketinggalan 0-1 pada babak pertama sebelum menambah dua gol di babak kedua untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi saingan Liga Super.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton selepas Idris Karim menanduk masuk bola hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad pada minit ke-27.

Perlawanan sumbangsih itu turut disaksikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Besar Tampin, Syed Razman Syed Idrus Al Qadri, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas rehat, pasukan “The Red Giant” bimbingan K Devan bangkit memberi asakan bertalu-talu dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi Safee Sali dan berselang tujuh minit kemudian, D Surendran berjaya menyumbat gol kemenangan buat Selangor.

One Response to “Selangor juara Piala Sumbangsih 2010”

  1. Lerock said

    Tahniah buat pasukan Selangor yang memenangi perlawanan walaupun ketinggalan 0-1. Dan tahniah juga buat pasukan Negeri Sembilan yang banyak menguasai permainan. Namun adat pertandingan, ada menang ada yang kalah. Apa-apa pun kedua2 pasukan menunjukkan permainan yang pantas dan bersemangat untuk memburu gol sehingga minit2 terakhir.

    Dan tahniah juga buat para penyokong kedua-dua pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Walaupun Selangor ketinggalan 0-1 pada babak pertama, kita tidak nampak botol2 dibaling ke padang. Para pemain dapat bermain dengan tenang.

    Penyokong bermentaliti tinggi, sudah pasti membantu para pemain memperlihatkan kualiti.

Leave a comment