Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Perlis akhiri kemarau 13 tahun julang Piala Emas Raja-Raja

Posted by bolasepak on December 29, 2009

PERLIS menjulang Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 setelah menewaskan Kedah 2-0 pada final di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Kejayaan anak-anak buah Khamal Idris Ali itu menjadikan ia kejuaraan ketiga buat Perlis yang pernah memenanginya pada edisi 1967 dan 1993.

Selaku juara, Perlis membawa pulang wang tunai RM30,000 serta piala pusingan manakala Kedah meraih RM15,000.

Kemenangan itu juga membolehkan Perlis membalas dendam ke atas Kedah selepas tewas 0-1 pada final Piala Emas Raja-Raja 1996, iaitu tahun terakhir Perlis melangkah ke perlawanan akhir kejohanan berkenaan.

Pada aksi malam tadi, gol kemenangan Perlis dihasilkan menerusi Romdhizat Jamian seawal minit keempat dan Adrien Jurad Chamrong (minit ke-18) yang turut diisytiharkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Kedah yang ghairah menyerang sebaik permainan bermula dikejutkan dengan gol awal pelawat menerusi Romdhi- zat.

Gol tersebut berpunca hasil sepakan sudut Mohd. Ikmal Faiz Azmi yang gagal ditolak keluar barisan pertahanan Kedah, sekali gus memberi peluang Romdhizat merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd. Khairul Azuan.

Skuad Hijau Kuning yang cuba bangkit dikejutkan sekali lagi dengan gol kedua pelawat pada minit ke-18 menerusi sepakan percuma Adrien Jurad dari jarak 25 meter.

Skuad Kedah yang semakin terdesak membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk penyerang Tan Yang Wei pada babak kedua.

Namun, percaturan pengendali Kedah, Mohamad Ramlee gagal memecah benteng Perlis yang diterajui Adrien Jurad dan penjaga gawang, Mohd. Izwan Ahmad.

Aksi final semalam turut dicemari dengan layangan tiga kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd. Nazer Mohd. Said.

Pemain yang menerima kad merah ialah dua pemain Perlis, Rom- dhizat dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman serta kapten Kedah, Mohd. Fazliata Taib.

Insiden ‘panas’ bermula pada minit ke-84 apabila berlaku tolak menolak antara pemain kedua-dua pasukan di kawasan gol Perlis.

Keadaan itu turut menyebabkan puluhan penyokong tuan rumah cuba masuk padang, namun dapat dikawal oleh pihak polis.

Aksi yang terhenti 10 minit itu kemudian disambung semula tanpa sebarang insiden tidak diingini.

2 Responses to “Perlis akhiri kemarau 13 tahun julang Piala Emas Raja-Raja”

  1. […] Perlis akhiri kemarau 13 tahun julang Piala Emas Raja-Raja […]

  2. […] Perlis akhiri kemarau 13 tahun julang Piala Emas Raja-Raja […]

Leave a comment