Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Gara-gara penyokong, Terengganu didenda RM16,000

Posted by bolasepak on October 30, 2009

TERENGGANU yang berdepan ujian getir pada separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia, esok selepas ketinggalan 0-1 kepada Negeri Sembilan, menerima tamparan hebat di luar padang pula apabila didenda RM16,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menanggung padah gara-gara kelakuan penyokong dalam tiga pertuduhan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan peringkat Kumpulan B Piala Malaysia, 3 Oktober lalu yang menyaksikan mereka ditundukkan lawan sama, 1-0.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah berkata, PBSNT didapati bersalah gara-gara penyokong Si Penyu yang membaling botol terhadap pegawai perlawanan (didenda RM5,000), meluru masuk ke padang (RM5,000) dan cuba memukul pengadil (RM6,000) sekali gus mendedahkan kecuaian mereka sebagai tuan rumah dalam aspek keselamatan.

“Kelantan pula dihadapkan ke jawatankuasa ini ekoran kelakuan penyokongnya pada perlawanan peringkat Kumpulan E Piala Malaysia dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 3 Oktober lalu tetapi dibebaskan tanpa sebarang hukuman.

“Memandangkan Kelantan pasukan pelawat ketika itu, ia menjadi tanggungjawab tuan rumah (ATM) terhadap sebarang kejadian yang berlaku di padang dan di luarnya,” kata Kamarudin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kamarudin bagaimanapun mengakui kes kelakuan penyokong Kelantan ini bukan kali pertama dalam Liga M musim ini malah sering menimbulkan masalah tatatertib kepada FAM dan mungkin mengheret persatuan bola sepak negeri itu sekali lagi gara-gara insiden pada suku akhir pertama Piala Malaysia menentang KL PLUS.

“Kami belum menerima laporan pengadil perlawanan itu lagi tetapi akan bertindak berdasarkannya,” katanya mengulas insiden penyokong Wira Merah membaling mercun sehingga mencetuskan kepulan asap di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu lantas menangguhkan seketika perlawanan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada Isnin ini mampu menentukan jumlah pasukan yang bakal bersaing dalam Liga M musim depan selepas tarikh pendaftaran penyertaannya dilanjutkan hingga esok.

“Setakat mesyuarat terakhir jawatankuasa ini, ada tiga pasukan yang memohon lanjutan tarikh akhir pendaftaran iaitu UPB-MyTeam, Sarawak dan Proton manakala enam lagi pasukan yang tidak melengkapkan butiran penyertaan mereka, juga diarah menyelesaikannya sebelum tarikh tersebut.

“Antara perkara yang perlu dilengkapkan ialah pengesahan gaji tertunggak pemain, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), surat jaminan mempunyai penaja atau sokongan kerajaan negeri dan perbadanan sepanjang semusim liga,” katanya.

Menurut Azzuddin, FAM masih cuba membantu pasukan yang menghadapi masalah kewangan hingga mungkin menarik diri daripada Liga M tetapi cuma dalam bentuk menghantar sepasukan pegawai yang mengandungi Naib Presiden dan ahli majlis mencarikan penaja menerusi pertemuan dan rundingan dengan ketua kerajaan negeri berkenaan.

Utusan Malaysia

4 Responses to “Gara-gara penyokong, Terengganu didenda RM16,000”

  1. anak t'ganu said

    apa kata kita sebagai penyokong2 setia terengganu melancarkan tabung untuk bayar denda ni…

  2. anak t'ganu said

    RM1 sorang dah laa….

  3. kwn2 ganu said

    Ok jugok ni, Kelab PETEH tolong handle tabung ni, tapi selepas ni wahai penyokong2 yang setia, tolong la berdisiplin.. sokong tetap sokong, tapi marah tu kena jaga la kwn… semua org nak team kesayangan mereka menang…

  4. Marang United - MU said

    hahaha…mintok je dgn dato che mat said…….. pitih belambok nok wi pia kalu dok tulun ke deme sendiri……… ….stedium rutuh pung dok care2 lagi….paka pitih panass dekpung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: