Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Gol lawan Sweden detik paling istimewa Villa

Posted by bolasepak on June 16, 2008

‘Saya lebih bangga gol ini berbanding tiga yang saya jaringkan ketika bertemu Russia’

PERLAWANAN sudah di hujung masa kecederaan dengan kedudukan terikat 1-1 apabila David Villa melihat bola hantaran jauh daripada benteng menuju ke arahnya.

Dia mengutip umpanan Joan Capdevila itu dan meluru di antara dua pertahanan Sweden. Dia menggelecek melepasi Petter Hansson dan, dengan penjaga gol, Andreas Isaksson meluru ke arahnya, menguis bola melepasinya untuk gol kemenangan Sepanyol.

Ketika gol itu mengejutkan penyokong Sweden yang duduk di belakang gol, terdiam, ia mencetus sorak gembira penyokong Sepanyol di hujung berbeza, selain rakan-rakan sepasukannya di tengah padang.

“Saya lebih bangga dengan gol ini berbanding tiga yang saya jaringkan pada hari sebelumnya. Amat bagus untuk saya mampu menjaringkan gol di sini dan memberi tiga mata kepada Sepanyol. Hari ini, kami sebenarnya lebih menderita.

“Kami adalah pasukan yang memburu kemenangan. Sweden ibarat menanti masa dan seolah-olah sudah tidak mahukan kemenangan,” katanya.

Kejayaan ke atas Russia nyata lebih mudah dan jurulatih Sepanyol, Luis Aragones, berkata Villa menjelmakan gol itu entah dari mana.

“Kami bertuah memiliki Villa, yang menyumbat gol yang ibarat mustahil untuk dihasilkan. Jika anda lihat dari luar, anda tertanya-tanya bagaimana dia mampu menjaringkannya,” katanya.

Sepanyol kini memburu kemenangan ketiga apabila bertemu Greece nanti, untuk menjadikannya sembilan kemenangan berturut-turut dan 18 aksi tanpa kecundang.

“Ini tiga mata penting untuk Sepanyol dan kami harap aksi seterusnya tidak perlu kami terlalu menderita. Mari kita angkat tangan dan menikmatinya, tetapi jangan juga lupa betapa kami perlu terus melangkah.

“Sudah tentu manis untuk terus menjaringkan gol. Tetapi pasukan perlu ke suku akhir, dan itulah yang lebih penting buat saya. Ia kemenangan berpasukan.

“Memang semua ini ibarat mimpi, tetapi kita juga harus bersikap realistik. Pasukan ini sudah menghasilkan dua aksi hebat. Tetapi kemaraan ke suku akhir mengatasi segala kepuasan lainnya,” akui Villa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: