Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Turki enggan lepas peluang ke suku akhir

Posted by bolasepak on June 15, 2008

Turki lawan Republik Czech (2.45 pagi)

TURKI mengharapkan momentum untuk mengatasi sejarah apabila berhadapan Republik Czech dalam memburu tempat layak ke suku akhir Euro 2008.

Turki bangkit untuk menundukkan tuan rumah bersama Euro 2008, Switzerland 2-1 selepas Republik Czech dikecewakan Portugal 3-1, sebelum pertemuan di Stade Geneve, awal pagi esok, yang akan menentukan pasukan yang layak menyertai kelompok lapan pasukan terakhir sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Portugal.

“Pasukan saya perlukan situasi seperti ini untuk menambah keyakinan mereka,” kata jurulatih Turki, Fatih Terim selepas kemenangan ke atas Switzerland.

“Tiga mata yang diperolehi itu membawa harapan kami untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang pada perlawanan terakhir kumpulan. Kami masih berada dalam saingan dan masih berharap untuk ke suku akhir, itu yang penting,” katanya.

Biarpun Turki mungkin lebih bersemangat selepas perlawanan menentang Switzerland di Basel, rekod pertemuan mereka menentang Republik Czech tidak begitu memihak kepada mereka.

Pasukan Czech menang 10 pertemuan, seri tiga dan hanya tewas sekali kepada Turki, dalam perlawanan persahabatan pada 1958 ketika mereka masih sebahagian daripada Czechoslovakia.

Kedua-dua pasukan itu bertemu dua tahun lalu dalam perlawanan pemanas badan Piala Dunia 2006 di Izmir, Turki, yang berkesudahan seri 2-2.

Pemain tengah Turki, Hamit Altintop tidak percayakan sebarang kaitan sejarah sebaliknya yakin pasukannya mampu mara dengan semangat juang tinggi.

“Kami tidak akan hilang kepercayaan atau putus asa, biarpun jika kami ketinggalan 1-0 pada babak pertama,” kata Altintop.

“Berbekalkan semangat yang kami ada sekarang, anda mesti percaya bahawa kami akan mendapatkan keputusan cemerlang menentang Republik Czech dan mara ke suku akhir,” katanya.

Begitupun, penjaga gol Republik Czeh, Petr Cech enggan mengakui betapa pentingnya keputusan perlawanan Rabu lalu terhadap pertemuan dengan Turki.

“Tidak kira bagaimana kami bermain atau mereka bermain sebelum ini, kini ia adalah perlawanan berbeza, suasana berbeza,” katanya.

“Semuanya menjadi taruhan. Hanya satu daripada dua pasukan akan mara dan kami perlu menghadapi cabaran dengan hati terbuka.”

Jurulatih Republik Czech, Karel Bruckner, berkata Turki sukar ditewaskan kerana mereka berupaya mengubah corak permainan bila-bila masa.

“Pemain Turki amat bergantung kepada kemahiran dan kemampuan untuk memperbaiki mutu permainan,” kata Bruckner.

“Mereka agak sukar dijangka. Mereka adalah lawan yang mampu menewaskan sesiapa saja. Saya harap prestasi kami setakat ini masih belum di puncak dan kami bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan itu,” katanya.

Ini adalah kejohanan besar pertama buat Turki selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 manakala Republik Czech pernah mara ke final Euro 1996 dan separuh akhir Euro 2004. Ketika menjadi sebahagian daripada Czechoslovakia, pasukan itu menjuarai kejohanan pada 1976.

Republik Czech berdepan perlawanan ‘mesti menang’ dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Piala Dunia 2006, tetapi tewas kepada pasukan yang kemudian muncul juara, Itali. Cech tidak mahu sejarah itu berulang.

“Saya tidak mahu mengalami kekecewaan seperti itu lagi,” kata Cech.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: