Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Deco tetap gah

Posted by bolasepak on June 13, 2008

BIARPUN Cristiano Ronaldo menguasai pentas tumpuan, Deco menjelmakan satu lagi aksi mantap, awal pagi semalam, menyumbang gol dan mencipta dua lagi ketika Portugal menang 3-1 ke atas Republik Czech pada Euro 2008 kali ini.

“Deco menikmati beberapa aksi hebat dengan pasukan kebangsaan dan juga ketika ini pada tahap fizikal terbaiknya,” akui jurulatih Portugal, Luiz Felipe Scolari.

Perencana gerak kelahiran Brazil itu menyumbat gol pada minit kelapan aksi Kumpulan A di Stade de Geneve, menemui sasaran daripada jarak dekat selepas percubaan Ronaldo dihalang penjaga gol, Petr Cech.

Deco memulakan dengan umpanan kepada Ronaldo di luar kawasan penalti, sebelum pemain sayap itu bermain satu dua dengan Nuno Gomes untuk kemudian hanya berdepan Cech.

Cech menyelamatkan cubaan Ronaldo dengan kakinya dan kemudian menghalang cubaan susulan pertama Deco, sebelum Deco berjaya menyempurnakan peluang dengan rembatan yang terbias daripada badan benteng Czech, Marek Jankulovski.

“Saya gembira dengan cara aksi saya ketika ini. Saya rasa bagus dari segi fizikal dan saya rasa kini melakukan kerjaya yang dimahukan untuk membantu pasukan.”

Deco kemudian menciptakan gol untuk Ronaldo, apabila mengumpan cantik hanya sedikit di luar kawasan penalti.

Ia juga bermula dengan Deco dan Ronaldo buat gol ketiga, apabila pemain tengah itu mengumpan jauh kepada Ronaldo hasil sepakan percuma pantas. Ronaldo mengarahkan bola kepada pemain gantian, Ricardo Quaresma yang mudah menguis masuk ke gawang ternganga.

“Inilah Deco yang saya mahu. Tiada siapa yang mencuba sekuat Deco. Dia buat kesilapan kerana dia lebih mencuba. Saya harap dia terus buat kesilapan seperti hari ini, kerana ia bermakna dia akan terus melakukan apa yang dibuat hari ini,” kata Scolari.

Portugal mengesahkan tempat ke suku akhir dengan kemenangan ke atas Czech. Pasukan itu menundukkan Turki 2-0 pada aksi pembukaan Sabtu lalu, ketika Deco sekali lagi menghasilkan prestasi memuaskan.

Portugal akan menamatkan peringkat kumpulan menentang tuan rumah bersama yang sudah pun tersingkir, Switzerland, di Basel, awal pagi Isnin nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: