Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Juara Eropah tumbang

Posted by bolasepak on June 11, 2008

GOL cantik Zlatan Ibrahimovic menjadi inspirasi bermakna membantu Sweden menewaskan juara bertahan, Greece 2-0 pada perlawanan Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008, pagi tadi.

Jaringan penyerang kelab Inter Milan itu bukan sahaja melemahkan semangat pemain Greece malah turut mengakhiri kemarau jaringan selama tiga tahun Ibrahimovic dalam kancah bola sepak di peringkat antarabangsa.

Satu lagi gol Sweden, semalam disumbang pemain pertahanan tengahnya, Petter Hansson selepas berlaku keadaan kelam kabut di depan gol Greece.

Namun, gol Ibrahimovic pada minit ke-67 adalah kunci kepada kejayaan Sweden apabila menyambut hantaran satu dua dengan Henrik Larsson sebelum melepaskan satu rembatan tepat dan bertenaga betul-betul dari luar kotak penalti terus ke penjuru gawang Greece.

“Saya lihat ada ruang di sebelah kiri dan terus meledakkan sepakan tepat ke arahnya. Memang ia satu perasaan yang menakjubkan,” katanya tentang berakhirnya kemarau jaringan.

Kali terakhir Ibrahimovic menjaringkan gol sebelum ini ialah pada 12 Oktober, 2005 ketika Sweden menewaskan Iceland 3-1 pada kelayakan Piala Dunia.

Dia kini sudah menjaringkan 19 gol daripada 51 perlawanan antarabangsa bersama Sweden.

Jika gol pertama jaringan Ibrahimovic dianggap antara yang tercantik, gol kedua Sweden pada minit ke-72, semalam pula boleh dianggap agak pelik.

Hansson menyambut bola yang kelihatan tidak begitu merbahaya tetapi masih mampu menolak bola masuk walaupun dikawal tiga pemain Greece termasuk penjaga golnya, Antonis Nikopolidis.

Terdahulu Hansson hampir menjaringkan gol sendiri tujuh minit sebelum itu apabila tertanduk bola ke arah gawang pasukannya yang tersasar sedikit sahaja.

Bagi Greece, kekalahan semalam menjejaskan peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka di negara sendiri pada 2004.

Walaupun menurunkan tujuh pemain daripada skuad 2004 lalu, Greece mendapati pertahanan Sweden cukup kental bertahan sepanjang perlawanan.

Peluang terbaik Greece hadir menerusi Vassilis Torosidis yang hanya berdepan dengan penjaga gol Sweden tetapi sepakannya berjaya disekat.

Greece akan bertemu Rusia manakala Sweden menentang Sepanyol selepas ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: