Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Naib juara Liga Super milik NS Naza

Posted by bolasepak on May 5, 2008

NEGERI SEMBILAN NAZA (NS Naza) mengesahkan tempat selaku naib juara Liga Super selepas menumpaskan Selangor 3-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dengan kemenangan itu, NS Naza mengumpul 48 mata diikuti Johor FC (46) dan Selangor (42). Manakala Kedah yang terlebih dahulu muncul juara Liga Super mengumpul 56 mata.

Dua pasukan tercorot, Pulau Pinang dan Sarawak akan turun beraksi dalam Liga Perdana musim depan ketika Kuala Muda Naza dan KL Plus dinaikkan pangkat untuk bersaing pada kempen Liga Super.

Di Stadium Shah Alam, penyerang NS Naza, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak berjaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan pada minit ke-44.

Zaquan sekali lagi meledak gol pada minit ke-70 apabila bijak menyudahkan hantaran lintang Udo Fortune untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Megat Amir Faisal Ibrahim untuk gol kedua.

Fortune melengkapkan kemenangan NS Naza menerusi rembatannya pada minit ke-82.

Di Stadium Utama, Perlis mengejutkan juara liga, Kedah dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Phillimon Chipeta pada minit ke-12.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang dan Pulau Pinang terikat tanpa sebarang jaringan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Johor FC menewaskan Terengganu 2-1.

Walter Silva menjaringkan kedua-dua gol Johor FC, sementara gol tunggal tuan rumah dijaringkan Zairo Annuar pada minit ke-55.

Di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Brunei DPMM menewaskan Perak 2-1.

Gol Brunei DPMM dijaringkan Sharizan Said pada minit ke-13 dan Christian Jessi Kano (75), sementara Perak memperoleh gol sagu hati menerusi Carlos Caceras.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelasah Sarawak 3-1.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd. Fazili Baharuddin pada minit kelima, Carlos Argusto (25) dan Mohd. Nizaruddin Yusof (45), sementara gol tunggal Sarawak dihasilkan Piousdinho Evwierhome James.

Leave a comment