Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Grant guna senjata psikologi

Posted by bolasepak on May 4, 2008

PERANG psikologi dua finalis Liga Juara-Juara Eropah yang turut berebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin membara apabila pengurus Chelsea, Avram Grant percaya Manchester United akan tunduk kepada tekanan ketika skuadnya memperhebatkan rentak dalam mencabar pendahulu EPL itu sepanjang baki saingan musim ini.

Di saat pasukannya sibuk dalam persiapan untuk mengunjungi Newcastle, esok, Grant mengingatkan semua pihak terhadap kes kesan tekanan paling teruk dalam bola sepak Inggeris pada 1996 apabila Newcastle yang ketika itu turut dibimbing Kevin Keegan tunduk kepada United dalam perebutan kejuaraan liga.

Newcastle mendahului liga dengan 12 mata pada satu ketika sebelum menyerahkan kedudukan pendahulu selepas menerima tekanan hebat daripada United.

Tahun ini, Chelsea pernah ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu pada satu peringkat tetapi mereka kemudian mengharungi 19 perlawanan tanpa kalah untuk kembali dalam perlumbaan memburu kejuaraan liga – senario sama dilakukan United yang mengejar dari belakang 12 tahun lalu.

Menewaskan United, hujung minggu lalu, membolehkan skuad bimbingan Grant menyamakan kedudukan di kedudukan teratas liga sekaligus menyebabkan juara bertahan itu menjadi tidak tentu arah dalam misi mereka menamatkan saingan musim ini.

United hanya menang satu daripada empat perlawanan terakhir liga dan Ferguson jelas dalam keadaan berang sehinggakan dia enggan bercakap dengan Grant selepas perlawanan.

Begitupun, United masih berpeluang memenangi liga andai memenangi kedua-dua perlawanan terakhir dan kejayaan ke atas Barcelona, awal pagi Rabu lalu, mungkin memberikan suntikan semangat yang diperlukan mereka, tetapi Grant yakin Chelsea mampu meranapkan impian lawan.

“Saya masih ingat musim itu (1996). Saya berharap ia berlaku lagi. Saya tidak peduli pasukan mana akan menghalang United, asalkan mereka gagal mengutip mata penuh.

“Kami mahu United mencicirkan mata, tetapi sudah tentu kami juga perlu menjalankan tugas kami.

“United bersaing dengan Arsenal hampir sepanjang musim ini dan apabila mereka berjaya mengatasi skuad Gunners, mereka pasti fikir segala-galanya ‘ok’.

“Tiba-tiba Chelsea pula muncul mencabar mereka dan kami pula hampir berada dalam kedudukan yang sama. Ini satu tekanan buat mereka dan pastinya tidak mudah.

“Anda perlu berada bersama pasukan setiap hari untuk mengetahui apa yang berlaku, tetapi kami sudah lama berada di belakang mereka dan kini kami mengumpul jumlah pungutan mata yang sama.

“Saya fikir saya tahu punca Alex menyenaraikan pasukan yang lemah ketika menentang kami. Dia fikir dia boleh mendapatkan keputusan yang bagus. Dia sungguh marah selepas perlawanan sehinggakan saya tidak boleh bercakap dengannya,” katanya.

Apa yang pasti persaingan kedua-dua kelab menyebabkan persahabatan Avram Grant dan Alex Ferguson yang berusia 15 tahun terjejas.

Grant yang ketika itu jurulatih kelab Israel, Maccabi Tel Aviv, kali pertama bertemu Ferguson apabila dia dipelawa mengkaji sistem latihan United pada 1993.

Namun, berbeza dengan Ferrguson, Grant tampak berjaya mengawal perasaannya ketika saingan merebut kejuaraan EPL semakin sengit dan ketenangannya itu berkembang hingga ke bilik persalinan.

Jurulatih dari Israel itu menegaskan, pemainnya turut bersemangat menghadapi cabaran mengejar United.

“Tekanan di kelab-kelab besar sentiasa ada, tetapi ia tekanan yang bagus. Kami sukakan cabaran mengejar lawan,” katanya.

“Ianya bukan mudah kerana jika anda keguguran mata, anda tersingkir. Tetapi “Saya pernah melakukannya di Israel. Kami jadi juara meskipun pada satu ketika ketinggalan lapan mata di belakang.”

Chelsea bertemu Newcastle, 48 jam selepas United melayani kunjungan West Ham, justeru ketika memulakan sepak mula, esok, kelab London itu sudahpun mengetahui keputusan bagaimana yang perlu mereka capai untuk kekal dalam persaingan.

Namun, jika Chelsea tewas kepada United dalam perebutan kejuaraan EPL, mereka mendapat peluang segera untuk membalas dendam apabila berhadapan anak buah Ferguson pada final Liga Juara-Juara Eropah, 21 Mei ini.

Grant mengakui dia bangga dengan pencapaian pasukannya ketika ini, tetapi menyedari mereka kini semakin dahagakan kejayaan lebih besar.

“Apa yang kami capai sehingga kini sungguh hebat. Ia menunjukkan kami menjalankan tugas dengan baik,” katanya. “Kami melakukan apa yang sepatutnya kami buat.

“Kami tahu visi kelab ini. Semua orang dapat melihatnya. Daripada perspektif bola sepak, kami bergerak ke arah yang tepat.

“Cita-cita utama kami adalah berada di final Liga Juara-Juara Eropah, terutama di Moscow yang memberikan makna sungguh besar kepada pemilik pasukan (Roman Abramovich). Kami berjaya melakukannya.

“Dengan kejayaan yang dicapai sekarang, kami semakin berselera untuk meraih pencapaian lebih baik.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: