Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Eriksson enggan berterus terang masa depan bersama City

Posted by bolasepak on May 4, 2008

PENGURUS Manchester City, Sven-Goran Eriksson hanya mendiamkan diri berhubung masa depannya bersama kelab itu dan dakwaan para pemain mengancam melakukan boikot ke atas jelajah akhir musim jika pengurus berbangsa Sweden itu dipecat.

Eriksson yang sering hadir pada sidang akhbar oleh kelab itu sebelum perlawanan telah menangguhkan pertemuan tersebut untuk dipaparkan dalam laman web City, kelmarin. Dia juga tidak menyatakan sebarang ulasan berhubung masalah yang melanda pasukan bimbingannya itu.

Pemilik kelab, Thaksin Shinawatra dijangka berkemungkinan besar memecat pengurus dari Sweden itu bulan ini, sebelum pasukan itu melakukan jelajah Asia. Bekas Perdana Menteri Thailand itu dilihat begitu kecewa dengan persembahan merudum City, berbanding permulaan hebat pada awal musim.

Keputusan akhir musim tidak berjaya memuaskan hati dan menepati jangkaan pemilik dari Thailand itu untuk berada dalam kelompok separuh terbaik liga.

Pemain-pemain Sweden dilaporkan bersedia untuk memberi sokongan kepadanya. Sementara itu, kapten City, Richard Dunne berkata, dia akan mengetuai skuad itu menandatangani surat bantahan kepada Thaksin bagi menyatakan keengganan berkunjung ke Thailand dan Hong Kong.

Akhbar England, termasuk The Times dan The Guardian melaporkan bahawa Eriksson meminta para pemainnya agar tidak melibatkan diri dengan isu tersebut demi masa depan masing-masing.

Dalam temuramah tersebut, Eriksson berkata, dia dan pemain akan memberi tumpuan kepada perlawanan hari ini bertemu Liverpool.

“Semua pemain berlatih dengan bersungguh-sungguh pada minggu ini dan saya berbangga dengan mereka. Adalah begitu penting kepada mereka untuk melakukan latihan. Jika tidak, mereka akan sedikit letih pada perlawanan seterusnya. Jadi, saya berharap mereka tidak terlibat dengan perkara yang berlaku ini.

“Saya ingin melihat mereka bermain dengan baik dan menghasilkan dua prestasi baik pada perlawanan yang berbaki,” kata Eriksson.

Kelmarin, Daily Mirror melaporkan bahawa Thaksin telah pun bersetuju untuk melantik Luiz Felipe Scolari sebagai pengganti Eriksson, biarpun jurulatih Portugal itu tidak boleh menjawat jawatan itu sehingga tamat Kejuaraan Eropah pada 7 hingga 29 Jun ini.

Eriksson menandatangani perjanjian selama tiga tahun apabila menyertai City. Sehubungan itu, Thaksin harus membayar baki tempoh perjanjian tersebut.

City tidak memberi sebarang komen berhubung laporan tersebut. Namun begitu, pasukan itu bertindak balas dengan cerita-cerita sebelum ini berhubung perkara yang berlaku dalam pasukan tersebut dengan menyatakan akan ada ‘laporan penuh kelab itu pada hujung musim’ dan mahu skuad itu memberi ‘tumpuan penuh kepada dua perlawanan terakhir dalam perlawanan liga’.

Ada antara pengurus pasukan lain di England menyokong bekas jurulatih England itu.

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez mengetahui semua permasalahan berhubung pemilik kelab itu, selepas Juergen Klinsmann mendapat pelawaan sebagai pengganti terbaik di kelab itu.

“Saya bersimpati. Dia (Eriksson) telah melakukan tugas dengan cemerlang dan mempunyai musim yang baik. Dia mesti gembira dengan prestasi yang dilakukan olehnya. Saya fikir, dia telah melakukan dengan baik,” kata Benitez.

Benitez sebelum ini juga terlibat dengan pertelagahan dengan pemilik Liverpool dari Amerika Syarikat.

“Kami berbincang tentang perkara itu sebelum ini apabila saya menghadapi tekanan. Dalam bola sepak, semua orang menginginkan kemenangan dengan cepat. Saya fikir, kamu boleh melihatnya di England. Arsene Wenger telah berada hampir 12 tahun di sini dan Alex Ferguson pula selama 21 tahun. Jadi, apa yang saya fikir, untuk memenangi kejuaraan dan menghasilkan pasukan yang kuat, kamu memerlukan masa,” kata Benitez.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: