Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Tidak mustahil United menggigit jari

Posted by bolasepak on May 3, 2008

BOLEHKAH Manchester United menjadi juara berganda musim ini?

Jawapannya masih diselubungi tabir tanda tanda.

Melihat bagaimana gelombang semangat Chelsea menyingkirkan Liverpool 3-2 dalam peringkat separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah Khamis lalu, pasukan dari Stamford Bridge itu wajar mendapat perhatian serius pada final 21 Mei ini.

Anak didik Sir Alex Ferguson pula belum pasti memenangi dua perlawanan terakhir Liga Perdana England, bermula dengan pertemuan dengan West Ham United di Old Trafford malam ini dan bertandang ke padang Wigan pada 11 Mei.

Jika United memenangi kedua-dua perlawanan itu dan Chelsea juga memenangi baki dua perlawanannya – menentang Newcastle dan kemudian Bolton – barulah pasukan pimpinan Ferguson akan ditabal juara Liga Perdana atas kelebihan gol yang lebih banyak.

Tetapi sebelum itu, United terlebih dahulu perlu memikirkan bagaimana untuk melenturkan West Ham hari ini.

Melihat kepada kekuatannya yang mempunyai tenaga muda seperti Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez, di samping para pemain berpengalaman seperti Paul Scholes dan Rio Ferdinand, sukar membayangkan pasukan Ferguson akan tercicir mata.

Apatah lagi, pertarungan berlangsung di hadapan ribuan penyokongnya di Old Trafford. Itu mungkin logik bola sepak.

Tetapi logik bola sepak tidak semesti menjadi kenyataan seperti yang berlaku pada 29 Disember tahun lalu.

Bertempat di Upton Park, West Ham mengejutkan United 2-1 melalui gol-gol Anton Ferdinand dan Matthew Upson sementara gol tunggal United diperolehi oleh Ronaldo.

Jika logik bola sepak terus digunakan lagi, pemain seperti Ronaldo tidak mungkin mensesiakan tendangan penalti.

Tetapi dalam perlawanan tersebut, Ronaldo gagal mencari sasarannya – nasib sama yang menimpa bintang Portugal itu semasa menentang Barcelona dalam peringkat separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu bermakna West Ham tergolong dalam ‘kelab elit’ empat pasukan yang berjaya menewaskan United musim ini. Tiga pasukan lain ialah Chelsea, Bolton Wanderers dan Manchester City.

Mengikut logik bola sepak lagi, siapa terfikir City boleh mengalahkan United, bukan sekali tetapi dua kali musim ini termasuk kemenangan 2-1 di Old Trafford.

Melihat daripada sudut ini, pengurus West Ham, Alan Curbishley, akan terdorong mencabar anak buahnya termasuk penyerang utamanya, Dean Ashton, untuk mencontohi kejayaan City.

Ini kerana dalam bola sepak moden, perkataan ‘underdog’ atau ‘pilihan’ selalunya wujud pada nama sahaja.

Segala-galanya akan ditentukan di medan pertempuran.

Lantaran itu, ada tiga senario yang boleh berlaku pada akhir musim ini.

Pertama, United menggondol kedua-dua kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Kedua, United mungkin memenangi salah satu daripada dua kejuaraan itu.

Ketiga, United menggigit jari.

Senario ketiga itu bukanlah mustahil tetapi saya lebih terdorong memilih senario kedua – sekurang- kurangnya satu piala dalam kabinet trofi di Old Trafford.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: