Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Dendam Chelsea ke atas Liverpool berbalas

Posted by bolasepak on May 3, 2008

DUA kali ia kecewa tetapi kali ketiga tuah menyebelahi Chelsea.

Bekas juara Liga Perdana Inggeris dua kali itu mencipta sejarah dengan melayakkan diri buat pertama kalinya ke final Liga Juara-Juara Eropah untuk menentang Manchester United di Moscow 21 Mei ini.

Kejayaan lebih manis kerana ia menewaskan Liverpool – pasukan yang menyingkirkannya dua kali di peringkat separuh akhir pada 2005 dan tahun lalu.

Bagaimanapun, anak didik Avram Grant terpaksa berjuang hingga masa tambahan untuk mengalahkan Liverpool 3-2 di Stamford Bridge awal pagi Khamis dan menang dengan agregat 4-3 selepas mereka seri 1-1 dalam perlawanan pertama di Anfield.

Tidak dapat dinafikan yang Chelsea bermain dengan cukup baik dalam pertemuan kedua di depan sebilangan besar penyokong sendiri tetapi adanya unsur tuah yang menyebelahinya juga tidak dapat dinafikan.

Dalam pertemuan pertama, kelab London itu mendapat ihsan pemain pertahanan Liverpool, John Arne Riise, yang menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan selepas Dirk Kuyt meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan dua minit sebelum rehat.

Andainya keputusan perlawanan pertama 1-0, maka agregat menjadi seri 3-3 dan Liverpool melayakkan diri menurut peraturan gol yang dijaringkan di padang lawan.

Malah, dalam perlawanan di Stamford Bridge pun Chelsea mendapat tendangan penalti pada awal masa tambahan pertama selepas pemain gantian, Sami Hyppia, menjatuhkan Michael Ballack.

Bagaimanapun, dua kali Liverpool dinafikan tendangan penalti apabila bola kelihatan terkena tangan kapten Chelsea, John Terry, dan Hyypia seperti dikasari dalam kotak penalti.

Inilah bola sepak dan tuah turut memainkan peranan selain kecekapan para pemain dan kehebatan sesebuah pasukan.

Tetapi berdasarkan keseluruhan permainan kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini, Chelsea lebih layak menang kerana prestasi yang lebih baik dan bersemangat, terutama ayam tambatannya, Didier Drogba.

Drogba menyumbangkan dua gol di samping penjaring gol penalti, Frank Lampard, yang turun bermain meskipun masih berkabung menyusuli kematian ibunya, Pat, Khamis lalu.

Gol-gol Liverpool pula dijaringkan Fernando Torres dan Ryan Babel.

“Kami semua ghairah menantikan final antara dua kelab England. Kami menjangka perlawanan sengit dalam masa tiga minggu ini,” kata Terry.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich, tentu begitu gembira dengan kejayaan tersebut kerana perlawanan akhir akan berlangsung di negaranya dan ia akan lebih istimewa lagi jika pasukannya menewaskan United untuk menjulang trofi Eropah buat pertama kalinya.

Selain final Liga Juara-Juara Eropah, Chelsea turut bersaing dengan United untuk merampas semula mahkota Liga Perdana England yang pernah dimenangi dua kali di bawah pimpinan Jose Mourinho.

United, yang sedang mendahului liga ketika ini dengan kelebihan jaringan gol, mesti menang baki dua perlawanannya untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi musim lalu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: