Austria mahu cipta kejutan
Posted by bolasepak on June 16, 2008
Austria lawan Jerman (2.45 pagi)
AUSTRIA mahu mencipta kejutan ke atas Jerman apabila kedua-dua pasukan berentap pada saingan Euro 2008, hari ini.
Austria pernah menewaskan Jerman 30 tahun lalu pada Piala Dunia dalam perlawanan yang disifatkan ‘insiden memalukan di Cordoba’.
Juara dunia, Jerman disingkirkan 2-3 oleh Austria pada Piala Dunia 1978 di Argentina.
Kini selepas 30 tahun, Austria meraih kembali kedudukan untuk meranapkan peluang Jerman di kejohanan kali ini apabila bertembung hari ini di Vienna untuk perlawanan terakhir Kumpulan B.
Jerman tidak boleh kalah jika mahu mara ke suku akhir manakala penganjur bersama Austria turut mengintai tempat ke peringkat kalah mati dengan kemenangan, bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Croatia dan Poland.
Jurulatih Jerman, Joachim Loew menolak andaian akan berlaku ‘insiden kedua Cordoba’ walaupun pasukannya tertekan selepas tewas tanpa diduga 1-2 kepada Croatia.
“Jerman akan menampilkan kelainan, itu janji saya kepada anda. Tewas kepada Croatia memang satu kejutan, tetapi kami tidak akan menyerah kalah.
”Kami tidak akan keluar dari kejohanan ini. Kami tidak akan memikirkan apa yang akan berlaku. ”Mereka (Austria) akan beraksi untuk meneruskan kemaraan tetapi kami pasti akan meraih mata yang diperlukan dan ke suku akhir,” jelasnya.
Bagi Austria, mereka mahu menjadikan detik kegemilangan 30 tahun lalu sebagai inspirasi.
“Kami memerlukan ‘Cordoba kedua,” kata ketua pasukan Andreas Ivanschitz.
Jurulatih Josef Hickersberger beraksi pada perlawanan di Cordoba 30 tahun lalu tetapi enggan membuat sebarang perbandingan.
“Menentang Jerman sesuatu yang istimewa bagi saya. Apa yang berlaku 30 tahun lalu tidak memberi sebarang keistimewaan pada saya,” kata Hickerberger.
Austria pasukan ranking paling bawah di kejohanana kali ini dan hanya layak atas tiket tuan rumah.
Namun, jaringan penalti pada masa kecederaan membolehkan Austria seri 1-1 dengan Poland, dan Austria kini terus mengharap.