Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Switzerland ingin pulih maruah

Posted by bolasepak on June 15, 2008

Switzerland lawan Portugal (2.45 pagi)

SWITZERLAND kehilangan peluang untuk terus bersaing dalam Kejuaraan Eropah (Euro) 2008 dan pertemuan menentang Portugal dalam perlawanan terakhir kumpulan, bagaikan cara terbaik mengucapkan selamat tinggal.

Pasukan tuan rumah bersama yang tewas dua perlawanan terdahulu mahu memanfaatkan perlawanan terakhir di Basel sebagai peluang terakhir mengubati duka peminat mereka.

“Orang ramai berhak menyaksikan satu lagi persembahan berkualiti daripada kami,” kata jurulatihnya, Koebi Kuhn, yang akan mengetuai pasukan itu buat kali terakhir.

Ia perlawanan terakhir Switzerland dalam Kumpulan A selepas tewas 1-0 di tangan Republik Czech dan kekalahan 2-1 kepada Turki.

Portugal sebaliknya lebih selesa selepas mengesahkan laluan mereka dengan menundukkan Turki, 2-0 dan Republik Czech, 3-1 biarpun dengan pengumuman jurulatih mereka, Luiz Felipe Scolari akan menyertai Chelsea selepas kejohanan berakhir.

Scolari mungkin merehatkan pemain utama bagi perlawanan ini dan memberi peluang kepada barisan simpanan beraksi.

“Ia akan menjadikan perlawanan semakin sukar,” kata pertahanan Switzerland, Patrick Mueller. “Pemain yang berada di bangku simpanan mahu menunjukkan kemampuan mereka bagi mendapatkan peluang lebih kerap diturunkan.”

Menurut Scolari, selepas menewaskan Republik Czech, dia akan memikirkan secara terperinci mengenai sebarang pilihan untuk perlawanan itu.

“Kami akan memikirkannya,” kata jurulatih Brazil itu. “Kami masih perlu meminda beberapa perkara tetapi kemenangan ini memberi peluang kepada kami menyusun pasukan.”

Kebanyakan pemain Portugal beraksi terlalu lama untuk kelab mereka pada liga musim lalu.

Pemain sayap Manchester United, Cristiano Ronaldo dan pertahanan Chelsea, Paulo Ferreira, Jose Bosingwa dan Ricardo Carvalho agak lewat menyertai pasukan kebangsaan itu memandangkan kedua-dua kelab mereka bertemu dalam final Liga Juara-Juara Eropah.

“Sekarang kami lebih tenang kerana sudah layak,” kata Scolari tanpa membayangkan siapa yang akan diturunkan ketika sesi latihan Portugal di Neuchatel, kelmarin.

Namun, tidak kira siapa diturunkan, menurut pemain, mereka kini semakin bersemangat.

“Portugal akan bermain untuk menang,” kata pemain pertahanan, Fernando Meira. “Itulah yang cuba dilakukan Portugal dalam setiap perlawanan. Saya tidak boleh menerima idea bahawa pemain boleh bersikap sambil lewa dalam perlawanan berikutnya,” katanya.

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>