Bola Sepak

Berita Bola Sepak | Dunia Bola Sepak

Bilic: Modric pemain terbaik Eropah

Posted by bolasepak on June 14, 2008

JURULATIH Croatia, Slaven Bilic menggambarkan perancang mudanya, Luka Modric sebagai pemain terbaik di Eropah selepas menyaksikan pasukannya mengejutkan juara tiga kali, Jerman pada saingan Euro 2008 semalam.

Begitupun, Bilic menegaskan pasukan Croatia bukanlah pasukan yang hanya mengharapkan kepada seorang pemain sahaja.

Modric yang menjaringkan gol kemenangan Croatia ke atas Austria Ahad lepas, dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan setelah membantu Croatia menang 2-1 ke atas Jerman kelmarin sekali gus melayakkan mereka ke suku akhir.

Bintang Modric dilihat semakin menyinar dan aksinya ketika menentang Jerman membuktikan betapa kelab England, Tottenham sanggup menghabiskan 16.5 juta pound (RM105 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu daripada kelab Dinamo Zagreb sebelum kempen Eropah ini.

Bilic juga meminati gaya permainan Modric dan percaya tiada pemain lain yang sehebatnya di benua ini. Begitupun dia juga tidak memandang rendah sumbangan yang diberikan oleh pemain yang lain.

“Luka adalah seorang bintang dan saya kerap kali katakan kepadanya bahawa dia adalah pemain terbaik di Eropah, tapi dia bukan satu-satunya pemain terhebat dalam skuad kami,” kata Bilic.

“Kami memiliki pemain bertaraf dunia dan mereka membuktikannya dalam setiap perlawanan.”

Bagi Modric pula, Jerman bukanlah satu-satunya pasukan yang mengalami kejutan daripada mereka kerana Croatia memiliki ramai pemain yang mampu mengundang masalah kepada mana-mana pasukan.

“Kami banyak melakukan gerakan dan bila kami melakukannya, kami pastinya amat berbahaya dan mampu mencipta banyak peluang.”

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>