Switzerland terpaksa lupakan Frei
Posted by bolasepak on June 10, 2008
PENYERANG Switzerland, Alexander Frei terpaksa menarik diri dari saingan Kejohanan Eropah (Euro) 2008 selepas mengalami kecederaan ligamen lutut.
Ketua pasukan dan pemegang rekod penjaring terbanyak Switzerland itu cedera, Sabtu lalu dalam perlawanan pembukaan kejohanan selepas dia dibentes dari belakang.
Dia meninggalkan padang sambil menangis menuju ke bilik persalinan, sebelum kembali ke bangku simpanan menggunakan tongkat.
Doktor pasukan, Cuno Wetzel berkata, Frei tidak dapat bermain selama enam minggu.
“Alex Frei mengetahui dia mengalami kecederaan yang teruk,” kata Wetzel.
Jurulatih Switzerland, Koebi Kuhn berkata, ia merupakan kehilangan besar, tetapi pasukan perlu terus fokus untuk bangkit dari kekalahan 1-0 ke kepada Republik Czech.
”Dia merupakan pemain yang penting. Dia seorang peledak gol. Tetapi dia sudah tersingkir. Kami perlu ke hadapan,” kata Kuhn.
Frei tidak dapat bangun selepas dijatuhkan dari belakang oleh pertahanan Republik Czech, Zdenek Grygera.
